Jurulatih dedah masalah kesihatan Datuk Lee Chong Wei

 

Jurulatih dedah masalah kesihatan Datuk Lee Chong Wei  | MASALAH kesihatan yang melanda jaguh perseorangan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei nyata meresahkan peminat sukan tanah air sehingga memaksa dia menarik diri daripada menyertai Kejohanan Dunia dan Sukan Asia Indonesia 2018. Jurulatih perseorangan lelaki kebangsaan, Hendrawan me­ngakui pemain berusia 36 tahun itu dilihat mula menunjukkan penurunan prestasi ketika berdepan bintang Jepun, Kento Momota pada separuh akhir Terbuka Indonesia awal bulan ini.

Katanya, beliau dapat mengesan ada benjolan pada leher Chong Wei ketika bertemu Momota dan ia dipercayai menjadi punca kepada masalah pernafasan yang dihadapi bekas pemain No. 1 dunia berkenaan. “Saya mula dapat kesan dia berdepan masalah kesihatan pada separuh akhir Terbuka Indonesia apabila dia mengadu sakit dan dapat lihat lehernya bengkak. Saya minta dia tarik diri jika sakit tetapi dia mahu teruskan permainan.

“Sebagai jurulatih yang sentiasa berada di belakangnya ketika perlawanan, saya tidak pernah nampak dia penat se­perti itu, terutamanya dari segi tenaga serta kepantasan dalam gelanggang. “Kemudian, selepas pulang ke Malaysia, dia mahu berehat selama seminggu. Ketika waktu rehat itulah dia melakukan pemeriksaan dan dikesan ada masalah kesihatan,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.

Mengulas mengenai dakwaan bahawa pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu akan menggantung raket akibat masalah yang dihadapi, Hendrawan menafikan spekulasi tersebut selain berharap Chong Wei segera pulih bagi mempersiapkan diri ke arah Sukan Olim­pik 2020. Tegas beliau, semua pihak perlu memberi ruang kepada Chong Wei untuk berehat serta menjalani rawatan sebelum kembali ke gelanggang bagi menggalas misi penting pada kejohanan-kejohanan akan datang.

“Dia tidak ada cakap apa-apa pun mengenai keinginan untuk berhenti (bersara). Chong Wei hanya mahu fokus kepada rawatan serta berehat. Berita (spekulasi) ini tidak baik untuk Chong Wei dan saya juga. “Chong Wei masih terkilan kerana dua sasarannya (Kejohanan Dunia & Sukan Asia) sudah terlepas. “Bagaimanapun, terlepas ke Sukan Asia lebih terasa kerana ia hanya berlangsung empat tahun sekali, berbeza dengan Kejohanan Dunia yang diadakan setiap tahun,” tambah beliau. -Kosmo

 

 

 

.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *