Ini risikonya apabila kanak-kanak ketagih peranti pintar

 

Ini risikonya apabila kanak-kanak ketagih peranti pintar | Ketagihan terhadap peranti pintar berisiko menyebabkan isu-isu ergonomik. Ia termasuklah masalah tulang belakang dan leher terutamanya dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, kata Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye.

Beliau berkata kajian perintis dijalankan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) baru-baru ini mendapati kanak-kanak melihat peranti pintar dalam posisi tidak sihat yang menambah beban seberat 27 kilogram pada leher mereka. Katanya walaupun penggunaan peranti digital begitu penting dalam era digital ketika ini, namun ibu bapa perlu mengawasi anak-anak mereka bagi mengelakkan komplikasi kesihatan pada masa depan.

“Difahamkan ada remaja yang terpaksa mendapatkan terapi di hospital kerana masalah ‘carpal tunnel syndrome’ (kesakitan saraf median pada ibu jari dan jari telunjuk) kerana penggunaan peranti pintar terlalu lama. “Ketika ini kanak-kanak seawal tiga tahun pun sudah ketagih peranti pintar,” katanya pada majlis prapelancaran Persidangan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ke-21 (COSH2018) dan Persidangan Saintifik Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan ke-5 (SCICOSH2018), di sini, Rabu.

Sehubungan itu, Lee berkata Pusat Kecemerlangan Ergonomik NIOSH di Johor Bahru akan menjalankan kajian secara lebih mendalam mengenai impak ketagihan terhadap peranti pintar dalam aspek ergonomik. “Dapatan kajian itu nanti akan dapat kita sebarkan kepada masyarakat kerana bagi pihak NIOSH kita bimbang mengenai isu yang akan timbul pada masa depan seperti kos yang perlu ditanggung bagi mendapatkan rawatan atau terapi,” katanya.

Berhubung COSH 2018, Lee berkata persidangan bertemakan “Meningkatkan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) Dalam Era Digital” itu akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada 24 dan 25 September depan. Menurutnya COSH buat julung kalinya dianjurkan secara terbuka dan berbentuk karnival dengan pelbagai aktiviti sampingan bagi menarik orang awam dan organisasi lain menghadiri persidangan tersebut.
Lee berkata seramai 1,500 peserta persidangan dan 100 syarikat serta 3,000 pengunjung dijangka hadir pada persidangan dan pameran berkaitan OSH tersebut. -Bernama

 

.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *