Pemilik restoran di Semporna ditahan kerana jual hidangan eksotik di restoran

 

Pemilik restoran di Semporna ditahan kerana jual hidangan eksotik di restoran | Jabatan Hidupan Liar Sabah menahan seorang pemilik restoran di Batu 2, Jalan Bubul, Semporna selepas didapati menyediakan hidangan haiwan dilindungi tanpa permit, kelmarin. Lelaki tempatan itu ditahan sepasukan anggota Unit Penguatkuasaan Jabatan Hidupan Liar Sabah, susulan maklumat berhubung penjualan hidangan eksotik terbabit. Ketika serbuan, anggota penguat kuasa menemui daging babi berjanggut, musang, tenggiling dan musang civet dalam peti sejuk di restoran berkenaan.

Pemeriksaan di kawasan sekitar premis terbabit turut menemui dua ekor biawak hidup dan dua ular sawa batik hidup di dalam sangkar, kedua-duanya spesies dilindungi. Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga, berkata pemilik restoran terbabit kini disiasat mengikut Seksyen 41 (2) Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997. “Serbuan ini adalah susulan daripada operasi di beberapa kawasan di pantai timur Sabah sejak kita melancarkan operasi mengesan pemburu penyu di Semporna,” katanya menerusi kenyataan, di sini, malam ini.

Dalam operasi berasingan, Augustine berkata, pihaknya menahan tiga lelaki di Jalan Tawau-Kalabakan di Tawau, semalam, kerana didapati membawa daging rusa tanpa permit. “Ketiga-tiga lelaki berusia 34 tahun hingga 61 tahun itu ditahan selepas anggota Unit Penguatkuasaan Jabatan Hidupan Liar memeriksa dua kenderaan di jalan berkenaan,” katanya. -BH

 

.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *