Pelakon berdepan kes mahkamah untuk membuktikan dia masih ‘dara’ dan belum pernah berkahwin

 

Pelakon berdepan kes mahkamah untuk membuktikan dia masih ‘dara’ dan belum pernah berkahwin | SEORANG aktres Pakistan berdepan kes mahkamah yang berlarutan selama tujuh tahun hanya untuk menentukan sama ada dia sudah berkahwin atau tidak. Irtiza Rubab, yang lebih popular sebagai Meera, telah berlakon dalam filem-filem komersial dan memenangi beberapa anugerah tempatan. Kini, namanya menjadi tajuk utama, tetapi bukan berkaitan kerjayanya sebaliknya kerana satu kes mahkamah apabila seorang lelaki mendakwa dia adalah suami kepada wanita berkenaan.

Meera dianggap seorang pelakon terkenal di Lollywood, iaitu industri filem Pakistan di Lahore. Selain filem tempatan, aktres berusia 40 tahun itu juga telah membintangi filem-filem Bollywood dan sebelum ini menyatakan keinginan untuk terlibat dalam politik. Dia juga terkenal dengan video-video media sosial dan gaya persembahannya, yang dianggap menghiburkan.Pada tahun 2009, seorang ahli perniagaan dari Faisalabad, Ateeq-ur-Rehman, memberitahu wartawan bahawa dia telah berkahwin dengan Meera pada 2007 dalam satu majlis tertutup.

Dia mendakwa ‘tidak senang’ apabila Meera tidak mengaku secara terbuka dia adalah suaminya dan masih memberitahu peminatnya bahawa dirinya belum berpunya. Lelaki itu juga mengeluarkan sijil perkahwinan sebagai ‘bukti’ perkahwinan mereka dan berkata dia telah memfailkan beberapa petisyen mahkamah terhadap Meera. Dalam permohonan itu, dia berpendapat bahawa Meera harus menjalani pemeriksaan untuk membuktikan wanita itu adalah isterinya, bahawa dia tidak boleh berkahwin dengan orang lain sebelum bercerai dengannya, bahawa dia harus mempunyai hak terhadap rumah di mana wanita itu tinggal dan dia harus dihalang daripada pergi ke luar negara.

Bercakap kepada BBC, peguam Meera, Balakh Sher Khosa berkata permohonan perubatan untuk menjalankan ‘ujian dara’ ke atas Meera telah difailkan oleh Rehman, yang mendakwa pelakon itu sudah tidak berstatus dara dan berbohong dirinya masih belum berkahwin. “Permohonan khusus ini kemudiannya ditolak oleh Mahkamah Tinggi Lahore. Di Pakistan, permohonan perubatan seperti ini bagi melakukan ujian keperawanan wanita dibolehkan dalam kes-kes rogol dan zina di mana wanita itu harus menegaskan bahawa dia telah hilang dara akibat perbuatan jahat.

“Tetapi dalam kes Meera, ujian keperawanan hanya dibenarkan dengan persetujuan wanita yang terlibat. Tuntutan Rehman tidak berasas, itulah sebabnya mahkamah menolaknya.” Meera telah menafikan semua tuntutan Rehman, dan menegaskan bahawa dia tidak berkahwin dengan sesiapa. Dia juga mencabar sijil perkahwinan tersebut. Kes itu menjadi tajuk utama di seluruh Pakistan, dengan timbulnya pelbagai pandangan.Meera telah menolak Rehman sebagai seorang yang membuatkan dirinya ‘terganggu dan mendambakan kemasyhuran’.

Dia memberitahu BBC Rehman adalah seorang promoter yang pernah ditemuinya melalui seorang rakan dan mereka pernah bekerja bersama dalam beberapa konsert dan siri jelajah. “Suatu hari tanpa disangka-sangka dia tunjuk beberapa gambar palsu yang mendakwa kami sudah berkahwin. Bagaimana dia boleh panggil saya isterinya?.” Meera berhujah bahawa dia tidak akan mengadakan majlis perkahwinan kecil-kecilan dalam apa jua keadaan. “Saya seorang selebriti, adakah saya senang-senang saja akan berkahwin di dalam sebuah bilik?.”

Sementara itu, peguam Rehman, Ali Bokhari, memberitahu BBC: “Dia telah berkahwin dengan Meera dihadiri ibu dan pakciknya. Meera harus menerima bahawa dia adalah isteri Ateeq.” Minggu lalu, mahkamah sivil di Lahore akhirnya menolak permohonan Rehman bahawa Meera patut dihalang berkahwin dengan orang lain tanpa perceraian. Walau bagaimanapun keputusan itu bukanlah penyelesaian kes. Hakim Babar Nadeem berkata mahkamah belum memutuskan sama ada sijil perkahwinan itu benar atau palsu – tetapi mengikut akta, Meera tidak dapat dihalang daripada berkahwin dengan sesiapa sahaja.

Bagaimanapun, dia menambah jika Rehman kemudiannya dapat membuktikan bahawa dia dan Meera sudah berkahwin, pelakon itu akan bertanggungjawab ke atas sebarang kemungkinan tindakan undang-undang. Meera yang masih menganggap ia sebagai satu kemenangan berkata: “Keadilan akhirnya dapat ditegakkan.” Hakim Nadeem telah mengarahkan kedua-dua peguam untuk menyelesaikan hujah-hujah mereka secepat mungkin dan keputusan akhir mahkamah akan diberikan sebelum 30 Disember 2017. -BBC

 

.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *