Lelaki dibelasah dan dibogelkan selepas ditangkap curi motosikal

 

Lelaki dibelasah dan dibogelkan selepas ditangkap curi motosikal | Tidak cukup dibelasah, seorang lelaki warga Indonesia turut dibogelkan penduduk kampung, sejurus ditangkap ketika melarikan sebuah motosikal di Kampung Stunggang dekat sini, pagi tadi. Dalam kejadian jam 8 pagi itu, kehadiran suspek bersama seorang lagi rakan senegaranya yang dalam keadaan mencurigakan, disedari penduduk kampung yang kemudian memantau pergerakan mereka.

Difahamkan, sejurus dua lelaki itu melarikan sebuah motosikal, penduduk kampung mengejar sebelum dapat menahan seorang daripada mereka, seterusnya membelasah dan membogelkan suspek sebagai pengajaran. Panik melihat kejadian itu, rakannya melarikan diri bersembunyi di kawasan berlumpur, tetapi berjaya ditahan polis yang tiba di lokasi kejadian sejurus dihubungi penduduk kampung.

Ketua Polis Daerah Lundu, Deputi Superintendan Wong Chee Kiong ketika mengesahkan kejadian, berkata tindakan pantas penduduk kampung berjaya menahan suspek sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. “Suspek yang cedera di muka, badan dan kaki akibat bergelut dengan penduduk kampung, dihantar ke Hospital Lundu untuk rawatan sebelum ditahan untuk siasatan lanjut. “Seorang lagi suspek ditangkap ketika bersembunyi dalam kawasan berlumpur tidak jauh dari kampung berkenaan. Motosikal digunakan mereka turut disita,” katanya ketika dihubungi. -BH

 

.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *