6 sahabat sempat bergambar dengan ceria sebelum salah seorang mati lemas

 

6 sahabat sempat bergambar dengan ceria sebelum salah seorang mati lemas | Kegembiraan enam sahabat bergambar di tasik dekat Bandar Puteri Jaya (BPJ), di sini, petang semalam, bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka lemas selepas terjatuh ke dalam tasik berkenaan. Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda Superintendan Saifi Abd Hamid berkata, mangsa Mohammad Nor Faizal Osman, 19, remaja orang kurang upaya (OKU) yang tinggal di BPJ ditemukan oleh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, kira-kira jam 5.50 petang selepas lebih 30 minit dilaporkan terjatuh.

Menurutnya, pada kira-kira jam 5.15 petang, anggota polis yang bertugas di pusat kawalan daerah, Ibu Pejabat Kuala Muda menerima panggilan mengatakan seorang lelaki terjatuh ke dalam tasik di Jalan Sri Putri iaitu Jalan Masjid hadapan rumah Prima BPJ. “Mangsa didapati terjatuh ketika berada di tepi tasik berkenaan bersama lima rakannya yang datang untuk mengambil gambar,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini. Menurutnya, usaha menyelamatkan oleh rakan-rakannya yang berada bersamanya tidak berhasil dan mereka meminta bantuan orang awam yang lalu berdekatan tempat kejadian tersebut.

“Mayat mangsa kemudiannya dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba dan kemudian dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat dan diserahkan kepada ahli keluarga,”katanya. Saifi berkata kes itu akan diklasifikasikan sebagai mati mengejut, namun siasatan lanjut akan dijalankan. Sementara itu, Komander Operasi BBP Sungai Petani, Aslan Abd Aziz berkata, sejurus pihaknya menerima panggilan daripada orang awam, lapan pegawai dan anggotanya bergegas ke lokasi kejadian. “Apabila tiba di lokasi, seorang lelaki dipercayai lemas di takungan air di kawasan tapak perumahan baru.

“Pihak bomba melakukan kerja-kerja menyelamat menggunakan ‘graping iron’ dan dalam tempoh 13 minit, mayat mangsa berjaya dijumpai ,” katanya. Difahamkan, mangsa lemas ketika cuba membantu sahabatnya yang tergelincir ke kolam sedalam kira-kira dua meter itu. -SH

 

.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *