Pemuda India mengaku pandai baca doa, Al-Fatihah dan azan

 

Pemuda India mengaku pandai baca doa, Al-Fatihah dan azan | TAHU membaca doa, melaungkan azan, malah tidak kekok membaca surah Al-Fatihah. Jika mendengar suaranya sahaja, pasti ramai menyangka R Nanthakumar, 25, pemuda Melayu beragama Islam. Namun, anak muda ini hanyalah seorang berfikiran luas yang mempunyai semangat ingin mempelajari budaya dan amalan agama lain. Anak bongsu daripada tiga beradik ini sejak kecil sudah mula bergaul dengan masyakat Melayu sementelah pula rumahnya di Kampung Air Meleleh, Port Dickson terletak berhadapan surau.

Nanthakumar yang mesra dipanggil Nan berkata, keluarganya menjadi satu-satunya keluarga India yang mendiami perkampungan Melayu di situ ketika itu. Bagaimanapun, katanya, keadaan itu tidak sesekali menjadi sebab untuk mereka berasa terpinggir, apatah lagi dipulaukan oleh penduduk yang majoritinya Melayu. “Oleh sebab rumah saya dekat dengan surau, saya selalu dengar azan, lihat macam mana orang ambil air wuduk dan solat. “Saya tak malu mengaku, saya pun tahu macam mana nak baca surah Al-Fatihah. Kalau nak suruh saya azan pun boleh dan doa-doa ringkas pun saya sudah hafal,” katanya. Dia yang kini menetap di Ipoh sejak 2009 menganggap, mempelajari budaya dan amalan keagamaan bangsa lain menjadikan dirinya lebih tahu menghormati.

“Saya masih ingat ketika di sekolah rendah dahulu, waktu kelas pendidikan moral, ada seorang cikgu ni selalu ajar saya banyak perkara tentang budaya Melayu dan agama Islam. Itu membuatkan saya seronok dan lagi nak belajar,” katanya. Nan berkata, ketika belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Abdul Samad, Port Dickson, dia merupakan ketua pasukan kompang sekolah dan antara kejayaan tertinggi diraih adalah pada 2009 apabila layak ke peringkat negeri dan menjadi satu-satunya peserta India merangkul johan formasi bagi persembahan solo. Katanya, keluarga tidak pernah menghalang, malah sentiasa menyokong apa dilakukannya dan memberi kebebasan untuknya bergaul dengan sesiapa sahaja.

Oleh kerana mempunyai ramai rakan dalam kalangan Melayu, anak pasangan M Rajendran dan Y Vasanthi ini juga sebenarnya sudah lama mempraktikkan puasa iaitu sejak di tingkatan 3 lagi. “Ada sekali tu mak saya marah bila dapat tahu saya puasa tapi bila saya kata nak cuba dia kemudiannya ok sahaja. Diam tak diam, dah 10 tahun saya ikut puasa. “Puasa baru-baru ini, saya hanya ponteng empat hari sahaja,” katanya. Penuntut Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Pengkhususan Sumber Manusia) Universiti Antarabangsa Unitar ini berkata, mendalami keistimewaan agama lain bukanlah bermakna mengetepikan adat sendiri.

Dia juga cekap mengendalikan gendang tradisional masyarakat India iaitu uremi melam. Sikapnya yang sentiasa positif menjadikan dirinya disenangi bukan sahaja dalam kalangan rakan sebangsa tetapi juga Melayu dan Cina. Persekitaran yang diterima sejak kecil itu banyak mempengaruhinya melaksanakan tanggungjawab sebagai pensyarah di sebuah kolej di Ipoh. Dia beranggapan, persekitaran masyarakat kini terlalu mudah dipengaruhi emosi sehinggakan sesuatu perkara yang berlaku sering dikaitkan dengan sentimen agama dan bangsa. “Kita hidup dalam negara yang punyai pelbagai bangsa, jadi perlu ada kemahuan untuk meraikan perbezaan. “Luaskan lagi skop pergaulan kerana itu akan membuatkan kita terhindar dari sikap diskriminasi,” katanya. -SH

 

.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *