Ini kisah Ridzuan Mohamad Puzi atlet paralimpik yang jadi tular

 

Ini kisah Ridzuan Mohamad Puzi atlet paralimpik yang jadi tular | VIRAL di media sosial baru-baru ini kisah inspirasi atlet paralimpik negara, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi. Seorang pengguna Twitter yang menggunakan nama Wahyu Ilahi menceritakan bagaimana Ridzuan yang bekerja di sebuah gerai nasi lemak menjadi seorang jaguh dunia acara T36. Menurut Wahyu, bakat Ridzuan atau lebih mesra digelar sebagai Dek Wan digilap oleh jurulatih Affizam Amdan, 46, seorang kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis.“Encik Affizam merupakan seorang yang rendah diri, menunduk seperti padi berisi, yang telah menggilap jaguhan kampung Perlis,” kata Wahyu, dipercayai kenalan rapat Ridzuan.

Difahamkan, Ridzuan pada mulanya dihantar untuk menjalani latihan kemahiran asas perabot di Bengkel Batu Murni, Batu Bertangkup, Cuping, Perlis oleh ayahnya.Oleh itu, selama dua tahun, Affizam terpaksa mengambil Ridzuan di bengkel dan membawa dia ke stadium untuk berlatih dan menghantarnya pulang ke rumah. Bakatnya mula menyerlah selepas menyertai Kejohanan Sukan peringkat zon, juga di Kejohanan Sukan Orang Kurang Upaya (OKU). “Begitulah rutin Dek Wan, sebagai budak gerai nasi lemak, sambil terus mengejar impian menjadi jaguh balapan.

“Di situ juga, Dek Wan dan kawan-kawan OKU yang lain bekerja, dengan gaji RM15 sehari menjual nasi lemak, jual burger, mencuci pinggan,” tulis Wahyu. Mengenang memori yang istimewa, Wahyu berkata seorang lelaki Cina, Chuah Heng Oon, 57 juga salah seorang yang penting dalam karier kejayaan Dek Wan.Hal ini kerana, pada tahun 2008, Heng Oon membelikan Ridzuan sepasang kasut sukan yang baharu kerana kasut yang dimilikinya sudah buruk dan rosak. Pada masa itu, Ridzuan sedang dilatih untuk Kejohanan Sukan Para ASEAN 2009. Menurut Wahyu, selepas Ridzuan balik dari Kejohanan Paralimpik di Rio de Janeiro, dia pulang ke kampung untuk bertemu Heng Oon.Wahyu turut mengambil kesempatan untuk menghargai jasa jurulatih terkini Ridzuan, R.Jeganathan.

“Sekarang, Dek Wan di bawah jagaan jurulatih R. Jeganathan. Individu yang bertanggungjawab memastikan emas diraih di Rio 2016,” tulis lagi netizen itu. “Terima kasih jurulatih Affizam, terima kasih jurulatih Jeganathan. Terima kasih uncle Heng Oon. Terima Kasih rakyat Malaysia yang memberi sokongan. “Dek Wan tak pernah pergi sekolah, membaca dan menulis tak pandai. Menulis nama sendiri pun tak lepas. Tapi semangat dia besar. Sangat besar! “Dia mungkin dilahirkan tidak sempurna dan ada kekurangan. Tapi ingat, kekurangan itu bukan penghalang untuk kita berjaya,” tulis Wahyu. -Awani

 

.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *