Anak tempah warna batu nisan sendiri sebelum maut dalam nahas

 

Anak tempah warna batu nisan sendiri sebelum maut dalam nahas | Seorang suri rumah hanya mampu menahan sebak sambil membayangkan kehadiran anaknya ketika menaiki pentas menerima diploma milik pemuda itu yang meninggal dunia akibat nahas bulan lalu. Norma Mohamed, 40, berkata anak sulungnya Abdul Jamil Abdul Jalil, 20, sepatutnya menerima Diploma Teknologi Elektronik pada Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional, hari ini. Namun katanya, beliau menerima ketentuan itu, malah bangga dapat melihat rakan anaknya dari Kolej Vokasional Sultan Ahmad Shah, Rompin, Pahang, gembira menyarung jubah dan menerima diploma masing-masing.

“Ketika naik ke pentas mewakili arwah mengambil diploma, saya seakan-akan ternampak dia ada bersama,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen Kolej Vokasional di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini, hari ini. Ibu kepada empat anak itu, berkata arwah anaknya seorang yang periang dan sentiasa menghiburkan mereka sekeluarga tanpa mengira masa. Katanya, tiga bulan sebelum arwah meninggal dunia, anaknya itu sempat memberitahu mahu menempah batu nisan untuk dirinya, ketika mereka bersama-sama mengambil batu nisan yang ditempah untuk bapa saudaranya.

“Dia tunjuk pada saya dan meminta menempah batu nisan berwarna hitam itu untuknya. Pagi sebelum dia meninggal dunia pula, dia sempat memberitahu dia mahu pindah rumah,” katanya yang reda dengan pemergiaan anaknya. Katanya, anak keduanya, Mohd Jamaluddin, 19, paling terkesan dengan kehilangan abangnya kerana mereka berdua begitu rapat, dan sehingga kini, adiknya itu tidak dapat tidur di dalam bilik mereka. Sementara itu, graduan Diploma Pelancongan dari Kolej Vokasional Beaufort, Sabah, Jelisha Johny Jerome, 20, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Emas Menteri Pendidikan, atas kecemerlangannya dalam pelajaran dan aktif dalam aktiviti kesukarelawan. Anak bongsu daripada tiga beradik itu mendedikasikan anugerah itu kepada mendiang ibunya, Jua Iy Lalung, yang meninggal dunia lima tahun lalu. -BH

 

.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *