Penonton terkejut pelakon Shah Jaszle berisi dalam drama Lara Aishah

 

Penonton terkejut pelakon Shah Jaszle berisi dalam drama Lara Aishah | SEWAKTU membuat kemunculan dalam drama rantaian terbitan Astro berjudul Lara Aishah pada tahun lalu, penampilan pelakon Shah Jaszle membuatkan rata-rata penonton terkejut melihat fizikalnya yang gempal. Berisi dan bulat, Shah Jaszle mengakui keadaan tersebut memberi kesan khususnya dalam soal tawaran lakonan. Lebih teruk lagi, dia juga berdepan kesukaran untuk mencari pakaian yang bersesuaian untuk muncul dalam majlis-majlis hiburan.

Pernah mempunyai berat badan mencecah sehingga 86 kilogram (kg), pelakon berusia 29 tahun itu nekad kembali menitikberatkan penjagaan penampilan diri sebagai misi meraih semula watak utama dalam mana-mana karya. Ditemui ketika tayangan perdana filem Lebuhraya ke Neraka arahan Mamat Khalid di GSC, Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini, dia sempat berkongsi tentang perkembangan terkininya.

Boleh kongsikan perasaan anda selepas menonton filem Lebuhraya ke Neraka yang telah diperam sehingga enam tahun?

Selepas enam tahun, saya pernah terfikir naskhah ini memang tidak akan ditayangkan kerana mengambil tempoh yang agak lama untuk dilancarkan. Namun, apabila diminta oleh pihak Grand Brilliance Sdn. Bhd. untuk mempromosikan filem ini di laman sosial kerana akan ditayangkan pada 4 Mei depan, saya teruja kerana berlakon dalam filem ini tidak mudah sebenarnya. Jika ia tidak ditayangkan, pastinya saya terkilan.

Adakah anda berpuas hati dengan corak lakonan sepanjang menjayakan filem berkenaan?

Sebenarnya, semasa di lokasi penggambaran saya tidak mempunyai skrip yang banyak, sebaliknya perlu bermain dengan emosi. Jadi, saya berhadapan dengan cabaran bagaimana hendak menonjolkan diri supaya tidak tenggelam dengan kehadiran pelakon lain. Untuk filem ini, saya juga baru kali pertama bekerja dengan Mamat Khalid. Jadi apabila menonton filem ini, saya sangat berpuas hati.

Anda pernah bercinta dengan Miera Leyana dan apabila melihat kerjasama kalian dalam filem tersebut, tidakkah timbul perasaan janggal?

Tidak, saya dan Miera masih berkawan seperti biasa. Rasa janggal juga tidak pernah wujud kerana semasa berlakon filem ini kami masih dalam fasa perkenalan.

Andai kata ada pihak mahu kembali menggandingkan kalian berdua dalam sebuah karya, adakah anda bersetuju?

Saya tidak kisah bekerja dengan sesiapa pun. Semuanya bergantung kepada pengarah andai mereka merasakan saya dan Miera layak untuk menjayakan drama, telefilem atau filem mereka. Pastinya saya akan menerima dengan hati terbuka.

Selain Lebuhraya ke Neraka, agak lama khalayak tidak menyaksikan lakonan anda di layar perak, boleh jelaskan kenapa?

Benar, filem terakhir saya berjudul Azura iaitu pada tahun 2012. Saya memang rindu untuk berlakon filem, malah masih lagi mendapat tawaran tetapi kadangkala ia terpaksa ditolak kerana terikat dengan jadual penggambaran drama yang terlalu panjang.

Anda kelihatan berbeza, nampak susut berbanding tahun lalu. Apa rahsianya?

Saya sedang nekad kuruskan badan dan selalu bersenam di gimnasium. Namun, selepas enam bulan berat saya hanya turun sebanyak empat kilogram. Proses menurunkan berat badan memang agak sukar, kerana saya kalah setiap kali melihat makanan yang sedap (tertawa). Sekarang berat saya 82kg. Saya berazam untuk menurunkan berat sehingga 75kg kerana dengan berat sekarang, saya sukar mendapat tawaran lakonan.

Jika diberi pilihan, karakter yang bagaimana anda mahu bawakan?

Semestinya saya mahu watak yang mencabar dan berlainan daripada lakonan sebelum ini. Sukar sebenarnya untuk membawakan watak yang langsung tidak pernah difikirkan, sebab itulah saya benar-benar mahu menurunkan berat badan supaya terus ada rezeki lakonan. -Kosmo

 

.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *