Niat jual rumah membawa kejutan besar pula buat wanita ini

 

Niat jual rumah membawa kejutan besar pula buat wanita ini | Seorang kakita­ngan insurans yang ingin menjual rumah berkembar miliknya di Colchester dekat sini terkejut apabila mendapati sebahagian daripada bilik tidur dalam rumah itu adalah milik jiran se­belah. Samantha Sweeney, 45, hanya mengetahui perkara tersebut setelah dimaklumkan pejabat Pendaftar Tanah di sini ketika mahu menjual rumah itu dengan harga 375,000 pound (RM2 juta) pada Mei tahun lalu.Dokumen yang dikeluarkan oleh pejabat tersebut menunjukkan garisan sempadan dalam bilik tidur berkeluasan 8.4 meter persegi yang terletak di atas laluan kereta yang dikongsi wanita itu bersama jirannya.

Sweeney mendakwa syarikat pemaju perumahan, Persimmon Homes (Persimmon) tidak memaklumkan tentang pemilikan berasingan semasa dia membeli rumah empat bilik itu dengan harga 415,000 pound (RM2.3juta) pada 2006. “Persimmon telah menjual tanah terbabit kepada jiran saya dan kemudian membina rumah yang saya diami sekarang serta bertindak menjual kembali ta­nah berkenaan. “Sangat menjijikkan kerana mereka sepatutnya boleh menyelesaikan perkara ini malah Persimmon telah mencadangkan saya menghubungi syarikat guaman yang didakwa melakukan kesilapan ini,” katanya. Difahamkan Persimmon telah mencadangkan syarikat guaman David Lowe dan Co. di Broxbourne, Hertfordshire berhubung hak milik hartanah namun syarikat tersebut tidak lagi wujud.

Seorang jurucakap Persimmon memberitahu bahawa mereka kesal dengan kesilapan pelan pada 2006 yang menjadi punca masalah berkenaan. “Memandangkan kesilapan tersebut ditimbulkan tahun lalu, maka rundingan sedang dijalankan antara Persimmon dengan pembeli serta pejabat tanah bagi menyelesaikan masalah tersebut dan kami yakin segalanya akan selesai,” katanya. -AP

 

.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *